BananaBro - Oleh Pengasas Boat Noodle, Kini Jana Lebih RM70 Juta Setahun

BananaBro - Oleh Pengasas Boat Noodle, Kini Jana Lebih RM70 Juta Setahun

Bagi anda yang sering berkunjung ke pusat beli-belah, mungkin perasan akan salah satu cawangan kedai baharu yang semakin berkembang pesat, iaitu BananaBro. Memfokuskan kepada konsep makan di atas daun pisang melalui pilihan sejumlah lauk, ia telah diasaskan pada tahun 2018 yang lepas. Kini, BananaBro mempunyai lebih 30 cawangan di seluruh negara, dengan kebanyakkan dibuka di dalam pusat beli-belah.

Diasaskan oleh Tony Lim bersama beberapa rakan, kini BananaBro menjana lebih RM70 juta setahun. Angka ini dijangka akan terus berkembang dengan pesat, selari pembukaan cawangan baharu, selain permintaan dan pengenalan kepada jenama yang membawa pelanggan berulang ke kedai makan berkenaan.

Untuk makluman, Tony Lim bukan seorang yang baru menceburi bidang makanan ini. Tony Lim telah membentuk francais Chatime di Kemboja pada 2011 yang lepas, selain turut memulakan Boat Noodle pada 2013. Beliau sendiri daripada keluarga yang mempunyai perniagaan memfokuskan logistik dan lori, dinamakan EH Utara Holdings. Namun, Tony dilihat lebih berminat ke arah industri peruncitan sekaligus memfokuskan kepada arena makanan dan minuman.

Perjalanan Tony bermula apabila mula membantu adiknya untuk membuka cawangan Chatime di Kemboja. Disebabkan oleh cabaran sengit di Kuala Lumpur, mereka mengambil langkah untuk mencuba nasib di Kemboja - memandangkan kebetulan keluarganya mempunyai cawangan perniagaan di Phnom Penh. Selepas melihat pada populariti teh mutiara (bubble tea), mereka mengambil langkah menjadi pemegang francais utama di Kemboja untuk Chatime.

Penetapan berkenaan juga memberikan sejumlah pengalaman, selain membolehkan mempelajari pelbagai selok-belok awal perniagaan peruncitan makanan. Ia seterusnya membawa kepada pembukaan Boat Noodle di Malaysia pada 2013.

Boat Noodle menggunakan konsep ia disiapkan dan dimasak selepas ditempah oleh pelanggan. Ini sekaligus memberikan ia sedikit cabaran dalam memperkembangannya - disebabkan oleh kawalan kualiti dan sebagainya. Namun begitu, Boat Noodle telah berkembang kepada beberapa cawangan, dan turut mempunyai cawangan di beberapa negara termasuk Brunei dan Filipina. 

Selepas kejayaan Boat Noodle, Tony bersama beberapa rakan turut telah melihat kepada kekurangan penawaran makanan berasaskan daun pisang, sekaligus membawa kepada pembentukkan BananaBro. Ia dimulakan pada tahun 2018, dan telah berjaya mencapai 30 cawangan dalam tempoh 5 tahun pertama operasinya. Malah, lebih menarik lagi apabila melihat ia berjaya menjana pendapatan mencapai RM70 juta pada 2023.

Operasi BananaBro dilihat lebih dioptimasikan, dimana ia menghidangkan makanan yang telah sedia masak, selain penyediaan kari dan kuah yang lebih mudah melalui paste. Ini sekaligus memudahkan ia dikembangkan dan kualiti dikawal rapi. Tony juga turut menyatakan salah satu perkara yang menjadi fokus utama mereka adalah kekal konsisten dalam penawaran pengalaman makanan di BananaBro.

Setiap operasi juga mengambil berat kepada pengalaman setempat, termasuk memastikan mendapat sijil Halal oleh Jakim, dan sebagainya. Disamping itu, disebabkan mempunyai pelabur dari Jepun untuk Boat Noodle, ia turut membawa kepada pengurusan kewangan yang lebih teratur - sekaligus membuatkan mereka bersedia sekiranya ingin menyenaraikan syarikat di bursa, atau untuk tujuan lain.

Buat masa ini, ia dilihat Tony Lim menyasarkan untuk terus memperluaskan penawaran BananaBro di lebih banyak lokasi seluruh negara, dan mencapai pendapatan melangkaui RM100 juta setahun.