Pandangan

Adakah Kereta Terbang Akan Menjadi Realiti?

·

Kita mengimpikan kewujudan kereta terbang sejak daripada kecil lagi. Tatkala guru-guru di sekolah memberikan tajuk berkaitan dengan masa hadapan, majoriti daripada kita akan membayangi jenis kenderaan ini. Ia sering menghiasi imaginasi kita sebagai kenderaan masa hadapan, namun adakah ia akan menjadi realiti?

Tahun 2020 sudah tinggal kurang setahun lagi dan nampaknya kereta terbang masih tidak menunjukkan ia akan hadir dalam masa beberapa tahun lagi. Tahun 2020 dilihat sebagai sebuah tahun bagi kemajuan teknologi, kerana ia menunjukkan kematangan teknologi selepas 30 tahun – apabila ia dikira daripada tahun 1990.

Pada saat ini, pengeluar kereta lebih memfokuskan kepada fungsi penjimatan tenaga seperti penghasilan kereta hibrid dan elektrik. Ia adalah salah satu usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan petroleum, iaitu salah satu sumber yang tidak boleh diperbaharui. Dengan kos sara hidup yang semakin meningkatkan dari tahun ke tahun, penggunaan kerena jenis ini juga dapat menjimatkan pengguna daripada perbelanjaan petrol.

Selain daripada itu, pengeluar juga telah mula berminat untuk menghasilkan kereta swapandu dalam membolehkan pemanduan automatik. Ia telah mula diimplementasikan pada kenderaan mewah, namun masih terdapat kekurangan dari segi tahap kawalan dan kematangannya. Disebabkan itu, kenderaan swapandu memiliki klasifikasi dan tahap tersendiri, bagi membezakan jenis pemanduan swapandu yang dicapai oleh sesebuah kenderaan.

Dengan perlaksanaan 5G dalam tempoh kurang beberapa tahun lagi, kenderaan swapandu dilihat akan menjadi lebih matang kerana ia dapat membaca jarak dan lokasi sesuatu kawasan dengan lebih terperinci. 5G menjanjikan kadar pendam masa (latency) yang lebih rendah, sekaligus mengurangkan kadar sela masa berbanding penggunaan rangkaian sedia ada. 5G juga bakal menawarkan kelajuan muat-turun yang jauh lebih pantas, sekaligus memudahkan usaha pemetaan yang memerlukan saiz fail yang besar.

Kereta swapandu dilihat lebih praktikal dibangunkan kerana ia menggunakan jalan darat yang sedia ada. Pengguna tidak perlu mengambil lesen berasingan kerana kawalan kereta jenis ini masih beroperasi seumpama kereta konvensional. Cuma kawalan seperti stereng dan kawalan minyak telah dipermudahkan oleh komputer melalui mod swapandu. Apabila mod ini dimatikan, ia membolehkan pengguna mengawal kenderaan jenis ini seperti biasa.

Faktor Yang Perlu Diambil Kira

Perkara ini dilihat sangat kontra dengan kereta terbang kerana ia berfungsi secara berbeza. Ia dijalankan di atas laluan berbeza, sekaligus menimbulkan banyak tanda tanya sebelum ia berjaya diimplementasikan. Bagi membolehkan kereta terbang beroperasi, beberapa faktor yang perlu dikaji terlebih dahulu antaranya dari segi aspek kelamatan, kawalan, persekitaran, dan kos perlaksanaannya.

Keselamatan

Aspek keselamatan kereta terbang ini sebenarnya boleh dilihat melalui bagaimana kapal terbang beroperasi. Ia perlu melalui sejumlah pemeriksaan keselamatan yang ketat sebelum sesuatu penerbangan dapat dimulakan. Juruterbang terlatih akan memastikan kesemua aspek seperti kondisi kapal terbang, minyak, dan segala peralatan telah sedia berada di dalam keadaan yang sangat memuaskan.

Berbeza dengan kenderaan persendirian, kita sendiri mungkin tidak melakukan pemeriksaan kenderaan secara kerap – kecuali ketika ingin berjalan jauh. Kereta terbang memerlukan pemeriksaan yang rapi pada setiap kali kenderaan ini bergerak ke sesuatu destinasi. Namun apabila pengguna cuai melakukan pemeriksaan ini, kadar keberangkalian kereta terbang yang dipandu akan mengalami kemalangan adalah sangat tinggi. Berbeza dengan pengangkutan darat, pengangkutan udara lebih sukar diperiksa dan diberhentikan apabila kenderaan mengalami masalah.

Kawalan

Kereta terbang memerlukan pengguna menguasai kawalan kenderaan yang agak kompleks. Ia bukan hanya sekadar dengan menekan minyak, mengawal gear, dan menggerakkan stereng, tetapi perlu mengusai sejumlah kawalan yang unik berbanding kenderaan di darat. Penguasaan ini termasuklah ketika ingin menerbangkan kenderaan, menavigasi, dan persediaan ketika berlaku kecemasan – yang mana kesemuanya mungkin dilakukan di ruang udara yang dipenuhi oleh kenderaan lain.

Persekitaran

Salah satu aspek yang membimbangkan ialah kereta terbang mungkin bebas beroperasi di ruang udara. Kenderaan terbang persendirian mungkin akan diterbangkan melalui kawasan perumahan dan bandar, jadi ia sedikit sebanyak menimbulkan risiko pelanggaran harta benda dan struktur bangunan. Pelanggaran ini bukan sahaja merosakkan harta benda, tetapi turut mengancam nyawa kehidupan yang berada di sekeliling kawasan kemalangan.

Selain daripada kemalangan, kereta terbang juga mungkin akan memberi kesan kepada pencemaran bunyi yang lebih hebat. Pengangkutan udara selalunya mengeluarkan bunyi yang kuat, sekaligus memberi impak kepada bunyi sekeliling yang lebih bising.

Kos

Untuk menghasilkan kenderaan terbang yang berkuasa pada saiz yang kecil, ia pastinya memerlukan teknologi kenderaan yang lebih canggih dan maju ke hadapan. Ia sekaligus akan menelan kos penghasilan yang lebih tinggi, yang mana ia boleh mencecah melebihi jutaan ringgit. Penghasilan kereta terbang memerlukan penyelidikan dan pengesahan yang lebih intensif, selain memerlukan bahan binaan yang lebih berkualiti tinggi.

Adakah kereta terbang akan menjadi realiti?

Kereta terbang tidak dinafikan akan menjadi kenderaan utama pada akan datang – sekiranya ia mempunyai kawalan dan undang-undang yang sistematik. Kereta terbang mungkin sudah boleh dihasilkan oleh pengeluar pada saat ini, namun perlaksanaannya perlu diteliti bagi membolehkan ia beroperasi dengan lebih selamat.

Adakan zon atau laluan kenderaan

Salah satu perkara yang boleh dipertimbangkan adalah dengan mengadakaan zon atau laluan yang boleh dilalui oleh kereta terbang. Perkara ini membolehkan kereta terbang bergerak ke sesuatu kawasan dengan lebih sistematik, selain membolehkannya untuk mengurangkan kadar kemalangan. Dengan adanya laluan tertentu, kereta terbang dapat dielakkan daripada melalui kawasan yang sibuk seperti bandar yang dipenuhi pencakar langit.

Mempunyai kawalan swapandu dan sistem amaran yang menyeluruh

Kemajuan teknologi pada hari ini telah memperlihatkan peningkatan bagi teknologi swapandu. Walaupun ia masih berada di tahap yang awal, namun ia sudah mampu memberi gambaran apabila teknologi ini memasuki fasa matang sepenuhnya. Ia membolehkan pemanduan dilakukan secara sendiri, jadi sesebuah kenderaan ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada kawalan manusia. Dengan perlaksanaan sistem swapandu dan amaran yang menyeluruh, kesilapan dan kecuaian manusia mampu dikawal dengan lebih baik apabila kenderaan berhadapan dengan situasi bahaya.

Undang-undang jalan udara baru

Untuk membolehkan kereta terbang beroperasi, sebuah undang-undang jalan raya baru perlu diwujudkan bagi membolehkan kenderaan ini melalui ruang udara dengan selamat. Ia termasuklah perlaksanaan dari segi kawalan trafik, yang mana ia perlu dipantau untuk mengelakkan pelanggaran kenderaan antara satu sama lain. Sebeprti di darat, para pemandu kereta terbang juga perlu diwajibkan melalui pengambilan lesen baru, bagi mempelajari pengendalian kenderaan dan undang-undang di udara.

Tetapi sekiranya kita tidak menemui pengurusan kereta terbang yang sesuai, kereta ini tetap akan diwujudkan, namun hanya dikhaskan untuk kegunaan komersial. Ia mungkin akan dijadikan sebagai teksi atau medium pengangkutan untuk kemudahan penghantaran barang. Apabila ia digunakan secara komersial, ia akan dipantau daripada pihak yang bertauliah dan kenderaan dapat dipandu oleh pemandu terlatih. Tetapi apabila ia ingin digunakan secara persendirian, ia memerlukan usaha dan disiplin yang sangat tinggi daripada semua pihak, kerana ia melibatkan nyawa dan kerosakan harta benda di darat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *