Penerangan

Apakah Penyebab Bunga Api Kelihatan Berwarna Warni?

·

Pada setiap acara besar-besaran, kita pasti disajikan dengan pertunjukkan bunga api. Ia sering diadakan ketika menyambut tahun baru, perayaan, atau selepas pelancaran sesuatu acara. Namun disebalik kemeriah bunga api, ia sebenarnya terkandung dengan beberapa kandungan asas kimia bagi membolehkan ia menghasilkan warna.

Palet kecil yang dihasilkan dalam bentuk “bintang” adalah bahan utama dalam penyediaan warna pada bunga api. “Bintang” ini diisi dengan sejumlah kombinasi garam logam (metal salt) yang mana dapat menerangi bunga api apabila ia diletupkan.

Setiap elemen kimia yang hadir pada palet ini dapat memberi warna berbeza: strontium karbonat untuk merah, kalsium klorida untuk oren, natrium nitrat untuk kuning, barium klorida untuk hijau, dan tembaga klorida untuk biru. Bunga api berwarna ungu pula terhasil daripada campuran warna seumpama melukis, iaitu hasil campuran merah dan biru.

Untuk makluman, proses pembakaran bunga api ini mempunyai beberapa proses terperinci. Apabila api dinyalakan pada penghujung bunga api, ia akan membakar bungkusan serbuk hitam di dalamnya terlebih daulu, dan seterusnya membawa kandungan “berbintang” berhampirannya terbang ke udara. Apabila mencapai ketinggian maksimum, bahan berbentuk bintang ini akan meletup, dan kemudiannya mengeluarkan letupan bercahaya.

Untuk membolehkan bunga api menghasilkan warna berbeza selepas ia diletupkan, “bintang-bintang” ini akan “berinteraksi” dengan pelbagai garam logam yang berlainan.

Salah seorang profesor di Universiti Missouri, merah dan hijau adalah warna yang paling mudah untuk dihasilkan, sementara biru adalah warna yang paling sukar untuk dibuat.

Profesor tersebut turut mendakwa bahawa warna emas adalah warna terbaik sekiranya ingin mengekalkan warna bunga api ini berada di udara dalam jangka masa lama. Disebabkan itulah bunga api yang paling lama di udara adalah terdiri daripada corak berwarna emas.

Jadi bagi anda yang berpeluang untuk melihat pertunjukkan bunga api, anda boleh membayangkan penglibatan sains di sebaliknya, terutama dari segi bahan garam logam yang digunakan.

Rujukan: [1], [2]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *