Pengangkutan

Perkhidmatan Kereta Sewa Cukup Popular Di Jepun, Namun Tidak Ramai Yang Menggunakannya Untuk Bergerak

·

Kebanyakan antara kita yang menggunakan perkhidmatan kereta sewa pastinya sudah mempunyai destinasi yang ingin dituju. Di Malaysia, kita sedia mempunyai perkhidmatan seperti Socar dan GoCar, yang mana membolehkan pengguna meminjam sejumlah kenderaan menarik dengan hanya melalui aplikasi. Namun di luar negara, tidak semuanya digunakan untuk bergerak, kerana ada yang menggunakannya sebagai ruang alternatif untuk melalukan sesuatu aktiviti.

Di Jepun, sebuah syarikat perkongsian kenderaan yang dikenali sebagai Orix telah mengenal pasti tabiat ‘pelik’ pelanggan mereka. Syarikat ini mendapati perkhidmatan sewaan kereta mereka cukup popular digunakan, namun kereta-kereta ini tidak selalu digerakkan.

Mengikut laporan daripada The Asahi Shimbun, perkara ini diketahui selepas Orix meniliti beberapa rekod pergerakan kereta dan mendapati kereta-kereta ini dipulangkan dalam keadaan “tiada pergerakan di antara jarak”. Di Jepun, Orix merupakan antara syarikat perkongsian kenderaan yang popular yang mana sedia mempunyai seramai 1.2 juta pelanggan berdaftar.

Untuk mengenal pasti apakah sebenarnya yang berlaku, Asahi Shimbun telah mengadakan sebuah soal selidik kepada pelanggan Orix. Selepas soal selidik itu dibuat, ia boleh dirumuskan bahawa ramai yang menggunakannya sebagai ruang kerja, ruang peribadi, dan ruang untuk mengecas peralatan pintar.

Antara respon yang popular, pelanggan Orix gemar menggunakan kereta sewa ini sebagai ruang untuk melelapkan mata dan ruang untuk berkerja. Ada juga responden yang menggunakannya sebagai ruang untuk perletakkan barang peribadi, kerana ruang penyimpanan berbayar telah digunakan secara sepenuhnya.

Apa yang menarik lagi, dengan penggunaan peranti pintar yang meningkat, ada juga yang menggunakannya sebagai ruang untuk mengecas peralatan pintar.

Perkara ini berlaku kerana perkhidmatannya di sini sangat mudah untuk diakses dan banyak ditawarkan pada pelbagai lokasi. Sehingga hari ini, Orix telah sedia meletakkan sejumlah kenderaan mereka pada lebih 12,000 ruang perletakkan kereta awam. Pengguna boleh meminjam kereta ini dalam beberapa jam atau meminjamnya sepanjang hari. Kos perkhidmatan ini juga berpatutan, yang mana hanya sekitar 400 yen untuk 30 minit.

Idea untuk menggunakan kereta sewa sebagai ruang peribadi ini kelihatan sangat menarik kerana ia boleh disewa dengan harga berpatutan. Pengguna boleh menggunannya sebagai ruang untuk tidur, mengecas peranti, atau dijadikan sebagai ‘studio’ untuk membuat video Youtube. Asalkan peralatan di dalamnya tidak dirosakkan dan dapat dipulangkan semula dalam keadaan yang bersih untuk kegunaan pelanggan seterusnya.

Rujukan: [1], [2], [3]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *