Kesihatan

Tidak Cukup Tidur? Anda Mungkin Mudah Menerima Serangan Jantung Dan Angin Ahmar

·

Apabila kita kian dewasa, ramai di antara kita yang tidak menjaga tabiat tidur yang betul, kerana kesibukan daripada melakukan sejumlah perkara harian. Namun kekurangan tidur ini sebenarnya turut menyumbang kepada masalah kesihatan – yang mana boleh membawa ke arah kematian.

Mengikut hasil kajian yang dibuat oleh Universiti Arizona, tidur yang tidak mencukupi akan menyebabkan peningkatan kepada tekanan darah. Apabila tekanan darah sekaligus menjadi punca kepada penyakit serangan jantung dan angin ahmar (stroke).

Untuk menjayakan kajian ini, para penyelidik telah mengambil sampel 300 orang lelaki dewasa dan wanita, daripada berumur 21 hingga 70 tahun, tanpa sebarang penyakit jantung. Peserta yang terlibat dalam kajian ini kemudiannya akan dibekalkan dengan alat bacaan tekanan darah mudah-alih selama 2 hari berturut-turut. Alat ini akan membaca tekanan darah peserta pada setiap 45 minit, sepanjang hari.

Pada waktu malam, perserta akan dipakaikan dengan pengesan aktigrafi iaitu sebuah alat berbentuk jam untuk membaca pergerakan – yang mana ia turut membantu dalam membaca corak tidur seseorang.

Daripada kajian yang dibuat ini, para peserta yang tidak mendapatkan tidur yang mencukupi akan menyebabkan berlakunya peningkatan tekanan darah. Mereka juga mempunyai tekanan darah sistolik yang lebih tinggi, apabila dibandingkan dengan peserta yang lain pada keesokan harinya.

Pada jangka masa panjang, ia menyebabkan permasalahan yang lebih kronik kerana ia memberi impak kepada kesihatan kardiovaskular. Penyakit yang berkaitan dengan kardiovaskular ini melibatkan dua organ utama di dalam tubuh manusia iaitu jantung dan saluran darah.

Untuk mengurangkan ia berlaku, ahli kesihatan telah menyarankan beberapa langkah mudah untuk menambaik waktu tidur.

Salah satu cara paling berkesan adalah dengan meletakkan peranti pintar anda pada lokasi yang berjauhan daripada ruang tidur anda. Telefon pintar menyajikan pelbagai perkara yang menarik, yang mana mungkin akan turut mengganggu corak tidur anda.

Selain itu, anda juga disarankan untuk menutup tirai yang berada pada tingkap bilik tidur anda. Bilik yang berada dalam keadaan yang betul-betul gelap akan lebih memudahkan anda untuk tidak terganggu daripada memasuki fasa tidur.

Walaupun dibelenggu dengan kesibukan harian, tidur yang mencukupi adalah penting dalam memastikan kesihatan kita lebih terjaga. Tidak kira sesibuk mana pun kita, pastikan tubuh badan kita diberi rehat secukupnya.

Sumber: Futurity

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *