Telekomunikasi

Perlukah Anda Risau Sekiranya Memiliki Telefon Huawei?

·

Huawei pada saat ini sedang mengalami krisis sekatan daripada Kerjaaan Amerika Syarikat. Kerajaan di sana telah meletakkan Huawei di dalam ‘Entity List’ iaitu sebuah senarai syarikat yang disenarai hitamkan daripada menjalin hubungan perdagangan bersama A.S.

A.S memasukkan mereka ke senarai ini kerana mereka mendakwa Huawei memberi ancaman terhadap sekuriti. Perkara ini timbul apabila Huawei sedang dalam perlaksanaan untuk memperluaskan rangkaian 5G pada negara itu. Kerajaan A.S. mengesyaki bahawa Huawei memasang perisian intipan di dalam perkakasan mereka, sekaligus membuatkan A.S. sangat memandang serius terhadap Huawei.

Daripada sekatan ini, Huawei tidak dibenarkan untuk mengadakan proses pertukaran perkakasan dan perisian bersama syarikat yang terlibat dengan pasaran A.S. Perkara ini sekaligus membantutkan usaha penjualan peranti, selain memberi kesan terhadap perniagaan perisian di sana.

Namun bagi pengguna, ia pastinya suatu tindakan yang merisaukan kerana ia melibatkan produk seharian seperti telefon pintar Huawei. Sejak daripada pengumuman sekatan ini, ramai yang sudah mula menjual peranti Huawei kerana risau tidak akan berfungsi pada akan datang. Peranti Huawei baru juga kini menerima reaksi yang negatif kerana pengguna bimbang kerana tiada kemaskini yang akan diberikan pada akan datang.

Perkara ini sebenarnya telah menimbulkan kekeliruan banyak pihak terutama mengenai sokongan kemaskini. Ramai yang mendakwa peranti Huawei akan gagal berfungsi pada akan datang kerana tidak dapat menerima kemaskini aplikasi ini. Namun dakwaan ini sebenarnya kurang tepat dan perlu diperbetulkan untuk memudahkan pemahaman pengguna yang lain.

Pertama sekali, Huawei telah diberikan tempoh tiga bulan untuk pengecualian daripada sekatan ini. Bermakna, Huawei masih dapat menawarkan kemaskini seperti biasa, seperti kemaskini sekuriti secara bulanan dalam tempoh ini.

Selepas daripada tempoh tersebut, Huawei tidak lagi dibenarkan untuk menggunakan Android yang mempunyai komponen daripada Google. Maknanya, sebarang peranti Huawei baru yang dikeluarkan daripada tempoh ini tidak lagi akan membawa perkhidmatan daripada Google.

Ada ura-ura mengatakan Huawei akan menggunakan platform alternatif (yang dikenali sebagai HongMeng OS), namun ia masih terlalu awal untuk diperkatakan. Namun apa yang pasti, Huawei masih dapat mengakses perisian sumber terbuka, seperti Android Open Source Project (AOSP) dalam penghasilan platform alternatif ini.

Untuk peranti sedia ada, Huawei mungkin tidak akan lagi menawarkan kemaskini sekuriti, namun perkhidmatan Google masih boleh digunakan seperti biasa. Kemaskini aplikasi daripada Play Store juga masih dapat diteruskan dan anda berpeluang untuk memuat-turun aplikasi daripada A.S.

Perkara ini dapat diteruskan kerana Google Play Protect masih mempunyai pensijilan yang sah di dalam peranti sedia ada. Hanya peranti Huawei keluaran akan datang sahaja yang tidak membawa pengesahan ini.

Bermakna, peranti Huawei anda masih dapat digunakan seperti biasa, cuma tiada sokongan kemaskini akan diberikan seperti kemaskini sekuriti bulanan dan versi Android baru.

Namun sekiranya anda jenis paronoid dengan sokongan sekuriti, anda mungkin boleh beralih untuk mendapatkan alternatif yang lain. Namun sekiranya anda tidak kisah mengenai kemaskini dan hanya mahukan aplikasi dapat dijalankan seperti biasa, anda boleh meneruskan penggunaan peranti Huawei ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *