Pandangan

Dengan Adanya Kemudahan Digital, Adakah Pemilikan Kenderaan Masih Lagi Suatu Keperluan?

·

Pemilikan sesebuah kenderaan boleh memakan kos yang sangat tinggi. Harga jualannya mencecah puluhan ribu ringgit, sekaligus memerlukan seseorang individu meminjam sejumlah nilai wang tertentu untuk memilikinya. Pada setiap bulan juga, anda perlu membayar ratusan hingga ribu ringgit – yang mana diambil daripada sebahagian wang pendapatan anda.

Bukan itu sahaja, pemilikan kenderaan seperti kereta juga tidak lari daripada kos yang tersembunyi. Ia memerlukan bahan api yang mana perlu diisi setiap kali anda ingin menggerakkan kenderaan. Anda juga perlu membayar tempat parkir yang mana dikira berdasarkan jumlah masa tertentu. Bukan itu sahaja, kos-kos yang lain seperti servis kenderaan, cukai jalan, dan insurans juga perlu dibayar ketika anda memiliki sebuah kenderaaan.

Tanpa disedari, banyak syarikat sebenarnya telah menawarkan alternatif bagi pemilikan kenderaan ini. Dengan adanya telefon pintar dan internet, anda sebenarnya tidak lagi perlu risau sekiranya anda tidak memiliki kenderaan untuk menuju ke sesuatu lokasi. Perkara ini kerana kesemuanya kini boleh dilakukan melalui sejumlah perkhidmatan yang sedia digunakan menerusi telefon mudah-alih anda.

Daripada penggunaan perkhidmatan ini, ia dapat mengurangkan kos dan kesusahan ketika meletakkan kenderaan di tempat parkir. Ia juga dapat menjimatkan masa anda, kerana anda tidak perlu lagi bersusah payah untuk mencari kawasan parkir. Kos dari segi pembayaran tempat parkir juga dapat dijimatkan kerana ia hanya melibatkan kos pengangkutan anda untuk ke sana.

Sekiranya anda peka dengan promosi yang ditawarkan, penggunaan seru-pandu juga dapat menjimatkan kos pengangkutan berbanding memandu sendiri. Setiap kali anda memandu sendiri, kos seperti minyak dan tempat meletakkan kenderaan pastinya akan dimasukkan ke dalam pembelajaan harian anda.

Sekiranya anda mengidam sesuatu makanan, anda juga tidak perlu lagi bersusah payah untuk menggerakkkan kenderaan anda. Dengan adanya perkhidmatan penghantaran makanan, anda kini boleh mendapatkan sejumlah makanan dengan hanya memesannya daripada aplikasi.

Dengan penggunaan aplikasi ini, anda dapat menjimatkan masa untuk menuju ke lokasi, kos minyak, dan kos daripada membayar tempat parkir. Dengan caj penghantaran sebanyak RM5, anda kini dapat menikmati makanan anda yang diidamkan tanpa perlu membawa kenderaan.

Selain daripada makanan, anda juga boleh mendapatkan sesuatu barangan dengan mudah dengan adanya perkhidmatan gedung di atas talian. Ia boleh meliputi barangan rumah seperti peralatan elektrik, perabot, dan juga sejumlah perkakasan yang melibatkan saiz fizikal yang besar. Apa yang lebih menarik lagi, barangan dapur juga kini boleh dibeli terus melalui aplikasi dan web menerusi Tesco, Honestbee, dan Happy Fresh.

Barangan yang dibeli ini kemudiannya akan dihantar melalui perkhidmatan kurier, yang mana akan dihantar terus ke rumah anda. Apa yang penting, anda tidak perlu lagi mengangkut barangan anda ke kereta dan memunggahnya apabila tiba di rumah. Perkara ini sekaligus menjimatkan banyak perkara – terutama dari segi masa dan kos pengangkutan anda.

Untuk perjalanan jauh, kita juga telah disajikan dengan sejumlah perkhidmatan sewaan kereta seperti Socar, GoCar, dan Mula. Seperti sewaan kereta konvensional, anda boleh meminjam kereta pada tempoh tertentu dan perlu dipulangkan ke tempat asalnya. Tetapi apa yang membezakannya, anda boleh meminjamnya pada beberapa buah lokasi popular dan membuka kereta tersebut melalui aplikasi.

Apa yang menarik, sejumlah perkhidmatan sewaan kereta ini dikira mengikut masa dan anda hanya perlu membayar mengikut masa tersebut. Bukan itu sahaja, harga peminjaman kereta juga meliputi kos seperti minyak, jadi anda tidak perlu risau untuk membayar petrol yang mahal. Kesemua perkhidmatan ini juga turut menawarkan insurans sekiranya anda risau untuk memandu kenderaan sewa ini.

Melalui penggunaan perkhidmataan sewaan kereta melalui aplikasi ini, anda sebenarnya dapat menjimatkan kos dari segi minyak, parkir, servis, insurans, cukai jalan, dan bayaran bulanan kereta. Untuk menjayakannya, anda boleh gunakan perkhidmatan seru-pandu ke tempat kerja, dan menggunakan perkhidmatan sewaan kereta ini apabila anda ingin menuju ke tempat yang jauh.

Artikel ini bukanlah menghalang untuk anda memiliki kereta, tetapi sebaliknya ingin menyediakan alternatif sekiranya anda yang masih belum memiliki sebarang kenderaan. Jika anda berkira-kira untuk membeli kereta ini, anda mungkin boleh mengubah fikiran anda dengan menfaatkan kesemua perkhidmatan mudah-alih baru ini.

Walaupun anda sudah berkereta, kesemua perkhidmatan ini juga mungkin dapat menjimatkan perbelanjaan dan masa anda dalam tempoh tertentu. Misalnya, penggunaan perkhidmatan seru-pandu dapat menjimatkan kos dari segi bayaran tempat parkir. Untuk menuju ke lokasi yang jauh, perkhidmatan sewaan kereta menerusi aplikasi juga dapat menjimatkan perbelanjaan anda dengan adanya sejumlah promosi yang ditawarkan.

Idea pemilikan kenderaan sebenarnya adalah untuk memudahkan anda menuju ke sesuatu lokasi. Tetapi dengan adanya sejumlah perkhidmatan seperti seru-pandu, penghantaran barangan, dan sewaan kereta melalui aplikasi, kesemua ini dapat mengurangkan anda bergantung kepada penggunaan dan pemilikan kenderaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *