Penerangan

Kenapa Manusia Dihantar Ke Bulan Semula?

·

Baru-baru ini, Kerajaan Amerika Syarikat telah mengumumkan bahawa mereka akan menghidupkan semula program untuk menghantar manusia ke bulan. Selepas 47 tahun mereka tidak menghantar angkasawan ke bulan, mereka akhirnya ingin menghantar manusia semula ke sana. Sebagai persediaan, Kerajaan A.S akan memperuntukkan sebanyak $1.6 bilion USD supaya misi ini dapat dicapai pada tahun 2024.

Sejajar dengan pengumuman tersebut, program untuk menghantar manusia ke bulan ini telah diberi nama Artemis, yang mana diinspirasikan daripada nama ketuhanan Greek. Apa yang menarik di bawah program ini, sasaran utama mereka bukan sahaja untuk menghantar manusia kembali – tetapi turut ingin membawa wanita pertama ke bulan.

Bajet yang bakal diperuntukkan ini akan banyak digunakan untuk penghasilan kapal pendaratan di bulan, sistem pelancaran kapal angkasa, dan kapal angkasa Orion – yang mana sangat memerlukan bajet yang besar.Proses penyelidikan juga akan memakan sejumlah kecil daripada bajet ini – yang mana melibatkan peralatan saintifik dan tenaga manusia.

Peruntukan yang diberikan kerajaan sebanyak $1.6 billion ini sebenarnya masih tidak mencukupi untuk membangunkan program Artemis ini. Program Artemis sebenarnya memerlukan bajet mencapai $21 bilion, sekaligus membuatkan ada pihak yang tidak begitu optimis dengan program ini.

Untuk membolehkannya dicapai pada tahun 2024, NASA bakal bekerjasama dengan beberapa entiti swasta untuk mengurangkan penggunaan bajet kepada program ini. Antara syarikat yang berminat untuk bekerjasama di dalam program ini ialah Blue Origin iaitu syarikat aeroangkasa swasta yang diasaskan oleh Jeff Bezos.

Pada minggu lalu, Blue Origin berminat untuk menghantar kapal pendarat Blue Moon untuk digunakan di dalam program Artemis. Walau bagaimanapun, NASA tidak begitu tertarik daripada penawaran Blue Origin kerana mereka masih baru dalam industri ini. Syarikat baru ini mungkin dapat menghasilkan kapal yang laju dan moden, tetapi mungkin terdapat kekurangan apabila melibatkan isu keselamatan.

Untuk menjadikan eksplorasi ini lebih selamat, NASA telah mengumumkan sebanyak 11 syarikat (termasuk Blue Origin) telah terpilih untuk menggalas proses penyelidikan R&D dalam penghasilan kapal prototaip ketika pendaratan di bulan. NASA telah menganugerahkan sebanyak $45.5 juta kepada 11 syarikat ini dalam mengurangkan kos dan menggalakkan entiti swasta untuk melibatkan diri dalam industri aeroangkasa.

Tetapi dengan kesemua perancangan ini, apakah matlamat utama manusia untuk dihantar ke bulan semula? Buat masa ini, tiada sebarang keputusan rasmi dibuat dari segi tujuan dan eksperimen yang bakal dicapai daripada eksplorasi ini.

Namun begitu, beberapa pihak saintis telah melihatnya sebagai khabar gembira kerana mereka bakal menerima informasi berkaitan dengan bulan dengan lebih terperinci. Dengan menghantar manusia ke bulan, para angkasawan dapat mengambil sejumlah sample daripada permukaan bulan dengan lebih efisien. Angkasawan dapat menentukan sejumlah perkara menarik yang boleh diambil di sana, dan membawanya ke bumi semula untuk proses penyelidikan.

Selain daripada mengambil sample, angkasawan juga bakal mengkaji bentuk kawah dan daratan di sana. Dengan sejumlah peralatan teknologi yang semakin canggih, angkasawan juga dapat mengkaji dalaman bulan, yang mana melibatkan informasi berkaitan dengan gempa bulan.

Di luar daripada kajian bulan, program ini juga dilihat sebagai titik permulaan untuk melibatkan golongan wanita di dalam eksplorasi angkasa. Walaupun hasil penyelidikan di bumi sedia melibatkan wanita, namun eksplorasi di luar bumi ini selalunya dibuat oleh golongan lelaki. Sekiranya eksplorasi ini berjaya, pastinya akan lebih ramai golongan wanita akan dibawa – terutama untuk eksplorasi manusia ke Marikh.

Bercakap mengenai Marikh, program manusia ke bulan juga akan dijadikan pemangkin untuk manusia menjelajah ke planet ini. Segala penyelidikan yang dibuat akan dijadikan sebagai rujukan – terutama melibatkan penghasilan kapal angkasa dan muatan untuk dibawa ke sana.

Dengan pengumuman program ini, generasi baru akhirnya berpeluang untuk melibatkan diri di dalam program eksplorasi manusia ke bulan ini. Dengan peningkatan teknologi, eksperimen yang bakal dihasilkan di bulan pastinya akan menjadi lebih menarik dan bakal merancakkan lagi proses kajian di sana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *