Pandangan

Bolehkah Keupayaan Teleportasi Menjadi Realiti?

·

Keupayaan teleportasi antara perkara yang ingin dicapai oleh manusia dalam memudahkan mereka menuju ke sesuatu lokasi. Ia merupakan proses pemindahan objek atau tenaga dari satu satu tempat ke satu tempat yang berbeza tanpa melintasi ruang fizikal.

Kaedah ini sering diperkatakan di dalam kebanyakan filem sains fikyen yang menunjukkan manusia boleh bergerak menuju ke sesuatu lokasi di dalam sekelip mata. Ada yang dilenyapkan, ada yang perlu melalui gelungan api, dan yang perlu melalui menaiki sesebuah kenderaan.

Antara contoh popular yang boleh diambil adalah melalui animasi Doraemon melalui alat “pintu ke mana sahaja”. Ia merupakan alat berbentuk pintu dan sesiapa yang melalui pintu ini, individu tersebut akan dapat tiba ke destinasi yang ingin dituju dengan serta-merta.

Sebenarnya sejak 1993, kebolehan teleportasi zarah (particle) dan tenaga ini telah menjadi kajian dan perdebatan hangat di dalam teori mekanik kuantum. Ia merupakan salah satu teori fizik yang membincangkan perkara mengenai sesuatu bahan pada peringkat atom dan sub-atom.

Pada tahun 1998, salah satu eksperimen teleportasi telah berjaya dihasilkan oleh sekumpulan ahli fizik di Institut Teknologi California. Mereka berjaya memindahkan sumber cahaya ke sesuatu lokasi berbeza tanpa melalui ruang fizikal.

Namun hakikatkanya, kebolehan seperti ini hanya berjaya di dalam bentuk ekperimen makmal dan masih belum dijayakan dalam skala yang lebih besar.

Keupayaan teleportasi ini mempunyai dua idea popular yang berbeza, menerusi “teleportasi klasik” dan “teleportasi kuantum”.

Pada kaedah klasik, idea teleportasi hanya merujuk kepada sesuatu objek yang dapat bergerak dari lokasi A ke B secara pantas. Dengan kecanggihan sains dan teknologi, perkara ini mungkin dapat diwujudkan dalam beberapa tempoh akan datang. Namun begitu, sejumlah idea daripada teleportasi klasik ini masih menjadi tunjang dalam penyelidikan mengenai keupayaan teleportasi ini.

Salah satu konsep yang dibawa oleh saintis adalah dengan mengasilkan satu lagi objek yang sama berasaskan objek asal, dan menghantarnya ke stesen penerima. Kaedah ini berfungsi seumpama mesin faks – dengan meletakkan kertas yang bertulis ke dalam mesin dan penerima dapat menerima kandungan yang serupa. Walau bagaimanapun, mesej yand diterima oleh penerima bukan lagi “kertas yang tulen” seperti yang dihantar oleh pengirim asal.

Itulah apa yang dibawa oleh teleportasi klasik, yang mana menerangkan idea objek yang menuju ke sesuatu lokasi lain dengan pantas – walaupun ia diduakan daripada objek asal.

Namun begitu, teleportasi yang melibatkan manusia akan menjadi isu di sini kerana teleportasi klasik akan menghasilkan tubuh manusia “yang tidak tulen” berbanding manusia asal. Kaedah ini akan menyebabkan sejumlah pertanyaan akan wujud, sekaligus merumitkan penghasilan sistem teleportasi ini.

  • Apa akan jadi dengan individu yang berjaya dihantar?
  • Sejauh mana persamaan kedua-dua individu ini (dari segi penghasilan tubuh fizikal)?
  • Sekiranya individu pertama musnah, adakah ia digelar ‘dibunuh’ dan bolehkah ia dimaafkan melalui penghasilan individu kedua?

Segala permasalahan yang dihadapi oleh teleportasi klasik telah membawa kepada sebuah lagi idea yang lebih saintifik menerusi teleportasi kuantum. Idea teleportasi ini adalah dengan menghuraikan segala data yang berkaitan dengan sesuatu objek, dan kemudiannya dihantar kepada penerima. Oleh disebabkan ia dihuraikan sejak dari lokasi penghantar, objek asalnya tidak lagi wujud.

Konsep teleportasi ini diwujudkan dalam bentuk bit data (quantum data bits) atau Qubits, yang mana telah berjaya memindahkan atom dan paket cahaya ke sesuatu jarak yang jauh. Ia dapat dijayakan kerana sekumpulan data kecil ini dapat dipindahkan dalam medium penghantaran yang sangat pantas.

Namun begitu, kaedah teleportasi kuantum untuk memindahkan manusia masih sesuatu perkara yang sangat sukar untuk dijayakan.

Teleportasi yang melibatkan tubuh fizikal manusia adalah lebih kompleks kerana ia merangkumi pemindahan zarah yang lebih besar. Sekiranya tubuh manusia berjaya dipindahkan, roh yang menggerakan tubuh juga perlu diselarikan ketika proses teleportasi ini.

Bolehkah keupayaan teleportasi menjadi realiti? Ia boleh sekiranya objek yang ingin dipindahkan adalah dalam satu skala yang lebih kecil. Experimen sains pada sebelum ini sudah berjaya memindahkan photon ke angkasa dan cahaya pada lokasi berlainan untuk membuktikan keupayaan ini. Namun, kesemua perkara ini adalah suatu eksperimen yang melibatkan zarah yang kecil dan bukannya dalam bentuk hidupan yang bersaiz besar.

Untuk memindahkan manusia melalui teleportasi kuantum adalah lebih rumit kerana ia melibatkan pemindahan zarah yang lebih banyak. Sekiranya satu zarah tidak berjaya dipindahkan, individu tersebut pasti akan mengalami kecacatan ketika ia berjaya tiba ke destinasi. Proses pemindahan roh juga perlu diselarikan untuk membolehkan individu yang sama dihidupkan ketika ia berjaya diteleportasi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *