Infrastruktur

Shimizu Mega-City Pyramid – Bandar Mega Yang Dijangka Siap Pada 2110

·

Bandar metropolis Tokyo pada saat ini sudah padat diduduki oleh penduduk. Oleh disebabkan itu, salah satu projek bakal dilaksanakan dalam membolehkan lebih ramai mendiami di bandar Tokyo. Namun projek ini tidak dihasilkan di atas daratan di Tokyo, tetapi sebaliknya ia bakal dibina di dalam kawasan perairan Tokyo Bay.

Projek ini dikenali sebagai Shimizu Mega-City Pyramid yang mana strukturnya bakal dibina 12 kali lebih besar daripada Piramid Giza. Apa yang menarik, ia bakal membolehkan seramai 750,000 orang untuk tinggal di dalam struktur mega ini. Apabila ia berjaya kelak, ia menjadi struktur terbesar yang pernah dibuat di dalam ketamadunan manusia.

Struktur bangunan ini akan mempunyai ketinggian setinggi 2,004 meter, sekaligus menewaskan Jeddah Tower yang bakal menjadi bangunan tertinggi dunia pada ukuran setinggi 1,008 meter. Ia dijangka dapat menggalas 1/47 jumlah penduduk yang berada pada kawasan Greater Tokyo.

Idea projek ini sebahagiannya berasal daripada filem Blade Runner (1982) yang memperlihatkan bangunan dengan struktur piramid futuristik.

Struktur yang dicadangkan untuk projek ini begitu besar, sehingga ia tidak boleh dibina dengan bahan binaan yang ada masa kini kerana disebabkan beratnya. Pembinaan projek ini sebenarnya bergantung kepada ketersediaan bahan berasaskan nanotube karbon, yang mana ia mempunyai ciri-ciri binaan yang ringan dan mempunyai fizikal yang kuat.

Pembangun bagi projek ini iaitu Shimizu Corporation sebenarnya ialah firma kontraktor seni bina, yang menawarkan penyelesaian komprehensif untuk pelbagai projek pembinaan dan kejuruteraan di seluruh dunia. Jadi dengan binaan yang memerlukan bahan baru ini, mereka mungkin akan menguruskan segala penyelidikan sebelum ia dapat digunakan untuk proses pembinaan struktur mega ini.

Apabila ia siap dihasilkan, Shimizu Mega-City Pyramid akan merangkumi sehingga 8 lapisan. Sekumpulan lapisan ini akan menempatkan sejumlah kemudahan yang berbeza yang mana merangkumi kawasan kediaman, pejabat, dan ruang untuk berekreasi.

Lapisan 1 hingga 4: Ruang kediaman dan pejabat
Lapisan 5 hingga 8: Ruang penyelidikan dan rekreasi.

Setiap lapisan piramid ini dijangka akan membawa ketinggian 250.5 meter, mengikut perkiraan 8 lapisan pada struktur piramid setinggi 2,004 meter.

Apabila siap, kawasan seluas 50km² bakal ditempatkan untuk 240,000 buah unit rumah, yang mana ia mencukupi untuk dididami oleh 750,000 orang. Kawasan seluas 24km² per segi pula akan diberikan untuk kemudahan pejabat dan kemudahan komersial yang mampu memberikan peluang pekerjaan kepada 800,000 orang. Baki kawasan yang seluas 14km² per segi pula akan digunakan untuk tujuan penyelidikan dan rekreasi.

Apa yang menarik, setiap pelusuk bangunan ini akan mempunyai sumber tenaga hijau yang mana dihasilkan melalui angin dan matahari.

Dari segi pengangkutan, ia bakal merangkumi laluan pejalan kaki yang boleh digerakkan (seumpama travelator dan sejumlah tangga bergerak. Apa yang lebih menarik, transit peribadi turut bakal diwujudkan dalam memudahkan individu bergerak ke sesuatu lokasi. Ia mungkin akan diwujudkan dalam bentuk pod kecil yang mana akan digerakkan mengikut landasan.

Projek Shimizu Mega-City Pyramid ini dijangka bakal siap sepenuhnya menjelang 2110. Pembinaan projek ini memakan masa yang sangat lama kerana ia menggunakan bahan binaan khas yang semestinya memerlukan penyelidikan yang spesifik. Ia juga dibina di atas kawasan perairan, yang mana memerlukan cabaran yang sangat besar untuk membina struktur mega di atasnya.

Shimizu menjangkakan projek ini akan mula dilaksanakan pada tahun 2030 apabila kesemua bahan binaan dan penyelidikan telah berjaya disiapkan. Walaupun ia dilihat agak mustahil untuk dibangunkan, pihak Shimizu optimistik dengan idea ini dengan pertumbahan teknologi dari hari ke hari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *