Pandangan

Penjelajahan Manusia Ke Marikh – Bolehkah Ia Dicapai?

·

Penjelajahan manusia ke Marikh sudah dipertimbangkan untuk berdekad lamanya. Usaha-usaha untuk membawa manusia ks planet ini telah dijalankan seawal 1950, yang mana menjangkakan manusia akan tiba di sini pada 10 hingga 30 akan datang sekiranya mengikut perancangan awal. Namun hanya pada tahun 2010, penjelajahan ini mula diperkatakan kembali, selepas kerjasama manusia daripada antara benua mula diwujudkan.

Pada saat ini, terrdapat dua pihak utama yang ingin menghantar manusia ke Marikh. NASA dikatakan akan menghantar manusia pada tahun 2030, sementara SpaceX ingin melakukannya seawal 2024. Sejak kebelakangan ini juga, banyak filem telah memperlihatkan penerokaan ini, seperti The Martian yang sedikit sebanyak memberi gambaran bagaimana manusia berada di sana.

Penghantaran manusia yang berjaya ke sana akan dijadikan sebagai titik permulaan untuk manusia tinggal di Marikh. Saintis dapat mengenal pasti sejumlah perkara saintifik dengan lebih efektif, selain dapat memulakan tamadun awal manusia di sana. Namun persoalannya, bagaimana kita dapat menuju ke sana? Sekiranya berjaya, bolehkah kita tinggal di sana untuk tempoh tertentu?

Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah sumber di Marikh dan Bumi adalah sangat berbeza. Atmosfera di Marikh kebanyakannya terdiri daripada karbon monoksida, disamping suhu di sana juga terlalu sejuk untuk menampung kehidupan manusia. Graviti di sana juga hanya 38% daripada bumi, sekaligus memerlukan penelitian semula untuk sesuatu objek dapat berfungsi di sana.

Marikh dipilih sebagai planet yang berpotensi untuk pengambaraan manusia kerana ia merupakan planet terdekat daripada Bumi. Ia mempunyai jarak 54,717,696 km daripada bumi dan mengambil masa 6 bulan untuk perjalanan sehala – sekiranya ia menggunakan teknik pergerakan yang praktikal untuk ke sana. Pada tahun 2014, pihak saintis telah mencadangkan untuk menggunakan teknik “ballistic capture“, yang mana dapat menjimatkan kos dan menyediakan perjalanan yang lebih selamat.

Namun cabarannya adalah untuk menghasilkan sebuah kapal angkasa penumpang, yang mana perlu diuji dan diteliti sebelum manusia awal dapat ke sana. Ia perlulah pantas, boleh dipakai semula, dan mampu untuk mendarat di atas permukaan Marikh dengan selamat. Ia juga perlu mempunyai saiz yang mencukupi untuk menampung sumber pembakaran dan muatan yang diperlukan untuk memulakan kehidupan di sana.

Bercakap mengenai kehidupan, NASA sudah mula mempertimbangkan jenis kehidupan atau habitat yang diperlukan untuk membolehkan manusia tinggal di sana. Habitat yang diperlukan ini turut mempunyai persamaan seperti kita – yang mana ia mestilah boleh dikembangkan, dilindungi untuk menahan atmosfera yang nipis, dan mampu untuk menyokong kehidupan lain – tanpa bantuan daripada Bumi pada jangka masa tertentu. Habitat yang dimaksudkan ini adalah seperti tumbuhan yang akan dijadikan sebagai sumber makanan di planet ini.

Tumbuhan dipilih kerana ia mempunyai saiz biji benih yang kecil, sekaligus memudahkan ia dibawa ke dalam kapal angkasa. Tidak seperti haiwan ternakan, ia mempunyai saiz yang besar dan perlu menjaganya dengan rapi ketika di dalam perjalanan ke sana. Tumbuhan juga boleh dihidupkan daripada mula – yang mana ia hanya memerlukan proses tanaman saintifik untuk memulakan pertumbuhannya.

Dengan teknologi pemakanan yang semakin berkembang, makanan berasaskan tumbuhan ini boleh dijadikan dalam pelbagai bentuk – tidak semestinya ia dijadikan dalam bentuk sayuran. Ia boleh dijadikan sebagai alternatif daging, seperti mana yang dilakukan oleh pihak Impossible Foods dalam menghasilkan pemakanan seumpama diambil daripada haiwan. Tanaman seperti gandum juga boleh dijadikan sebagai makanan ruji untuk penghasilan makanan berasaskan roti dan bijirin.

Melalui proses tanaman ini, ia sedikit sebanyak ia dapat memberi bekalan oksigen semula jadi kepada manusia. Cuma dari segi bekalan air, ia agak sedikit sukar kerana sumber air di Marikh adalah sangat terhad. Walau bagaimanapun, proba angkasa MARSIS (Mars Advanced Radar for Subsurface and Ionosphere Sounding) telah menjumpa itasik selebar 20 km terletak 1.5 km di bawah permukaan tasik beku di kutub selatan planet ini. Apa yang menarik, air yang ditemui tidak membeku walaupun suhu mencecah -68° C, kerana kewujudan garam natrium, magnesium, dan kalsium serta tekanan tinggi merendahkan tahap beku air.

Cabaran seterusnya adalah bagaimana manusia dapat hidup di dalam suhu Marikh yang sejuk. Marikh terletak 54 juta km daripada Bumi – yang mana ia mempunyai suhu purata pada sekitar -62 °C. Suhu ini sangat sejuk untuk membolehkan air mengalir, selain menyukarkan kehidupan untuk hidup sekiranya tanpa sebarang peralatan tambahan. Marikh juga mempunyai atmosfera yang nipis, jadi ia akan memberi kesan kepada kehidupan melalui sinaran radiasi yang membahayakan.

Sebagai permulaan, manusia mungkin akan hidup 80% di dalam bahagian yang tertutup, seperti di dalam kem penempatan. Daripada sini, manusia boleh melakukan sejumlah perkara seumpama di bumi dengan lebih bebas, tanpa perlu memakai sut tambahan. Manusia boleh bercucuk tanam, dapat menikmati oksigen, dan pastinya dapat menampung kehidupan yang lebih selamat.

Jadi, bolehkah manusia menjelajah ke Marikh? Jawapannya agak sukar untuk dipastikan kerana kita belum mempunyai seseorang yang berjaya ke sana. Namun melalui proses kajian dan penyelidikan, ia mempunyai peluang untuk manusia melakukan penjelajahan ke sana. Cuma terdapat beberapa perkara yang perlu dikenal pasti dalam membolehkan ekspedisi ini berjaya – terutama dari segi pengangkutan dan kehidupan di sana.

Penjelahan manusia ke Marikh juga akan mempunyai kos perjalanan yang tinggi, jadi ia sedikit sebanyak menyukarkan orang ramai berpeluang untuk ke planet ini. Dalam masa beberapa tahun terdekat, hanya segelintir angkasawan dan mungkin hartawan yang akan menjadi manusia terawal dalam menerokai Marikh. Perjalanan ke sana akan memakan kos kira-kira $6 bilion USD (atau RM24 billion) untuk seseorang yang ingin mengikuti penjelajahan ini.

Apa yang pasti, penjelajahan manusia ke Marikh akan menjadi sejarah bagi kehidupan kita. Ia seumpama penjelajahan manusia ke bulan, yang mana ia memperlihatkan pencapaian yang tinggi untuk tamadun manusia. Dengan adanya teknologi yang semakin canggih, penjelajahan manusia ke planet ini dapat menjadi persediaan awal sekiranya Bumi musnah oleh disebabkan kelalaian dan kerakusan manusia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *