Kesihatan

Ketagihan “Bubble Tea” – Punca Diabetes Yang Membimbangkan

·

Minuman berasaskan bubble tea dilihat semakin popular pada hari ini. Walaupun bubble tea ini bukanlah sesuatu yang baru, ia kini mula mendapat perhatian – terutama daripada generasi muda. Di media sosial, ramai yang berkongsi mengenai kenikmatannya, namun tahukah anda bubble tea ini sebenarnya adalah penyumbang kepada permasalahan diabetes?

Minuman ini semakin popular sejak daripada pertumbuhan sejumlah jenama minuman bubble tea yang berasal daripada Taiwan. Jenama-jenama ini sudah lama bertapak di negara tersebut, namun baru sahaja memasuki arena perniagaan bubble tea di Malaysia. Pertumbuhannya bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan kerana ada sahaja cawangan yang baru dibuka.

Sumber Gambar: Twinings

Apa yang menarik lagi, setiap cawangan yang menjual bubble tea ini sentiasa dipenuhi dengan ramai pengunjung. Di beberapa buah lokasi popular, anda perlu beratur panjang terlebih dahulu sebelum anda dapat memulakan pesanan. Adakalanya ia sampai mengganggu laluan kerana ramai yang ingin menyegarkan tekak mereka dengan minuman yang menyelerakan ini. Dari segi bacaan masa, ia boleh mencapai sehingga 30 minit untuk mendapatkan minuman ini.

Keenakan bubble tea ini semestinya tidak dapat disangkal kerana ia mempunyai sejumlah perisa yang menarik. Ia terdiri daripada perisa utama seperti teh susu, teh susu gula perang, dan bermacam perisa berasaskan teh. Pengunjung juga boleh membuat kustomasi untuk minuman ini, seperti meletakkan krim keju di bahagian atas atau meletakkan cincau berbentuk biji hitam di bawahnya.

Namun apa yang membimbangkan, kandungan gula yang tinggi sangat memainkan peranan untuk memberi keenakan pada minuman ini. Terkini, campuran gula perang telah membuatkan minuman ini sentiasa diburu oleh peminat bubble tea. Campuran ini yang menariknya boleh dilihat secara kasar apabila anda menerima minuman ini. Ia kemudian perlu dikacau sehingga sebati untuk merasai kelazatan minuman ini secara sepenuhnya.

Sumber Gambar: CantonRep

Disebabkan popularitinya yang meningkat, sebuah kajian telah dibuat oleh sekumpulan pelajar Sains Nutrisi Dan Makanan daripada Politeknik Temasek di Singapura. Mereka telah membawa 6 jenis minuman teh ke makmal yang dipilih berdasarkan daripada menu popular. Minuman yang dipilih ini adalah menu asal tanpa pengubahsuaian dari segi kandungan gula dan jenis topping yang diletakkan.

Untuk mendapatkan kandungan gula, mereka akan menyukat beberapa titisan minuman ini melalui alat yang dikenali sebagai refractometer. Alat ini mampu menyukat kandungan gula yang terlarut untuk menentukan tahap kemanisan di dalam sesuatu minuman. Eksperimen ini tidak termasuk penambahan topping seperti biji cincau, krim keju, atau sebarang topping yang lain.

Pada akhir eksperimen, mereka mendapati satu cawan 500ml minuman teh dengan gula perang mengandungi 92.5 gram gula di dalamnya. Bagi minuman berasaskan teh kundur, ia mengandungi sebanyak 80 gram gula atau kira-kira 16 sudu gula. Apa yang merisaukan di sini, kiraan gula ini sebenarnya menyamai jumlah gula yang terdapat pada 3 minuman tin Coca-Cola.

Persoalannya, berapakah sebenarnya jumlah gula yang boleh diambil di dalam sehari? Menurut kajian perubatan, ia tidak mempunyai sukatan yang tetap kerana ia berbeza mengikut seseorang individu. Namun beberapa buah organisasi telah menetapkan sukatan gula yang disyorkan untuk mengelakkan pengambilan gula berlebihan.

Menurut American Heart Association (AHA), pengambilan gula yang disyorkan adalah seperti:

Lelaki: 150 kalori untuk sehari (37.5 gram or 9 sudu teh)
Wanita: 100 kalori untuk sehari (25 gram or 6 sudu teh)

Daripada maklumat ini, pengambilan gula yang disyorkan dalam sehari sebenarnya tersangatlah rendah bagi orang dewasa. Namun dengan melihat pemakanan harian kita, kita sebenarnya sering melebihi had yang disyorkan.

Sebagai contoh, satu tin minuman kopi yang anda ambil di pagi hari mempunyai jumlah gula sebanyak 23 gram. Ketika waktu makan tengahari, anda mungkin mengambil minuman tin yang lain, yang mungkin mengandungi gula sekitar 20 gram. Sekiranya dimasukkan dengan waktu minum petang dan makan malam, jumlah gula yang diambil pastinya akan lebih tinggi.

Daripada laman Heatlh.Gov, sesorang perlu mengehadkan pengambilan gula ini 10% daripada kalori seharian. Seperti contoh, seorang yang mengambil kalori 2000 kali sehari perlu mengehadkan pengambilan gula kepada 50 gram sahaja. Sekiranya anda cergas dan sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat, kiraan pengambilan gula ini akan berubah mengikut jumlah kalori yang anda ambil.

Sumber Gambar: HonestlyYUM

Minuman bubble tea ini walaupun dilihat menyelerakan, ia semestinya perlu dikawal bagi mengelakkan pengambilan gula yang tinggi. Anda boleh menikmati minuman ini, namun anda perlu mengehadkan jumlah pengambilannya. Anda boleh menetapkannya dengan seminggu sekali atau 2 minggu sekali mengikut diet yang anda mahukan.

Sekiranya anda ingin mengurangkan dengan lebih efektif, anda juga boleh membuat kustomasi untuk mengurangkan kandungan gula. Apabila anda memesan minuman ini, anda boleh meminta untuk mendapatkan gula pada tahap suku atau separuh daripada kandungan asal. Anda juga boleh mengurangkannya lagi dengan membuang jenis topping yang memaniskan minuman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *