Sains

Bolehkah Manusia Merentas Masa?

·

Setiap orang pasti mengimpikan kebolehan untuk merentas masa. Mungkin anda ingin kembali ke masa silam untuk mengubah sesuatu perkara di masa yang lalu, atau anda ingin melihat masa hadapan kerana tidak sabar untuk menyaksikan perkara yang bakal berlaku pada akan datang.

Kebolehan pengambaran masa telah banyak dipopularkan secara fiksyen menerusi filem dan animasi. Antaranya filem Back to the Future yang membolehkan seseorang menuju ke masa hadapan dan silam dengan menaiki kereta DeLorean. Siri animasi Doraemon juga terkenal dalam mempromosikan pengambaran masa, dengan menaiki mesin masa yang berada di dalam sebuah laci ajaib.

Tetapi adakah rentas masa benar-benar dapat dihasilkan untuk menuju ke masa hadapan dan silam? Sekiranya ia boleh, apakah perkara yang perlu dilakukan untuk menjadikannya sebagai realiti? Ia adalah perkara yang ahli sains mahukan buat sekian lama, dan dijangka akan dapat dihasilkan sekiranya ia mempunyai solusi yang praktikal.

Namun sebelum kita bercakap mengenai kebolehan rentas masa, ada baiknya kita bercakap dari segi halangannya terlebih dahulu. Kita mungkin tidak boleh kembali ke masa silam, namun terdapat sejumlah teori yang mengatakan kita boleh menuju ke masa hadapan. Bermakna di sini, percubaan untuk ke kembali ke masa silam adalah lebih sukar untuk dihasilkan, tetapi tidak bermakna ia tidak dapat dilaksanakan.

Pada awal abad ke-20, Einstein telah mencipta sebuah teori yang dinamakan sebagai relativiti khas (special relativity). Sekiranya orang ramai berpendapat bahawa masa adalah sesuatu yang berterusan, Einstein mengatakan ia adalah sebuah ilusi. Ia relatif dan boleh berubah daripada penglihatan pemerhati – yang mana ia bergantung daripada kelajuan cahaya dan ruang.

Teori tersebut mendakwa bahawa ruang dan masa adalah suatu perkara yang berkait, sehingga ia digelar sebagai ruang-masa (spacetime). Ruang-masa merupakan model yang menggabungkan ruang tiga dimensi dan satu dimensi masa ke dalam sebuah kontinum empat-dimensi.

Sumber Gambar: European Space Agency

Cahaya dapat bergerak dengan kadar kelajuan 300,000 km/saat dan ia digunakan untuk membolehkan sesuatu objek bergerak melalui ruang-masa ini. Apabila anda menaiki objek ini, masa yang berlalu adalah lebih perlahan untuk anda, dan orang yang anda tinggalkan di bumi akan melalui peredaran masa yang lebih cepat.

Sebagai contoh, bayangkan anda meninggalkan bumi dengan menaiki sebuah kapal angkasa yang bergerak hampir kepada kelajuan cahaya, ketika pada usia 25 tahun. Kemudian, anda kembali ke bumi pada usia 30 tahun. Anda dapati kesemua rakan-rakan anda telah tua, namun anda masih berada pada lingkungan umur yang masih muda.

Perkara ini berlaku kerana masa yang anda lalui bergerak dengan lebih perlahan. Anda hanya berada di atas kapal angkasa dalam masa 5 tahun, tetapi rakan-rakan anda di bumi telah melalui masa penuh selama 30 tahun.

Untuk menjadikannya sebagai realiti, kita perlukan sebuah pengangkutan yang dapat bergerak dengan lebih laju. Setakat ini, kapal angkasa terpantas yang dibina oleh manusia ialah Apollo 10 yang dibina pada tahun 1969. Ia mampu mencapai kelajuan sehingga 39,897 km/jam – iaitu kira-kira 20 kali lebih perlahan berbanding kelajuan cahaya. Untuk menjayakannya, sebuah kapal angkasa yang sangat besar perlu dihasilkan untuk menampung sumber pergerakan kapal tersebut.

Bercakap mengenai pengembaraan ke masa silam, ramai ahli sains berpendapat bahawa ia adalah suatu yang sukar dicapai. Sebarang teori yang memungkinkan pengambaran ke masa lalu akan menyebabkan permasalahan kepada causality. Permasalahan ini akan mewujudkan penyebab dan akibat yang berbeza, berbanding apa yang dilalui pada tempoh masa silam tersebut.

Antara contoh terkenal dalam menerangkan permasalahan ini ialah dengan melihat kepada “grandfather paradox“. Contoh ini memberi andaian: apa akan jadi jika seseorang kembali ke masa lalu dan membunuh datuknya sendiri sebelum ayahnya lahir? Sudah pasti orang yang membunuh tidak akan wujud dan mampu untuk membunuh datuknya.

Sumber Gambar: Semantic Scholar

Stephen Hawking pernah membuat eksperimen ringkas pada tahun 2009 untuk meninjau sama ada manusia mampu untuk kembali ke masa silam. Beliau telah mengadakan sebuah parti dalam meraikan kesemua pengembara yang berjaya merentas masa.

Untuk memudahkan seseorang mencari lokasi parti, beliau telah berkongsi sebuah kad jemputan yang mengandungi masa dan koordinat acara tersebut berlangsung. Stephen berharap agar orang di masa hadapan melihat memo ini dan kembali ke tahun 2009 untuk meraikan acara ini.

Untuk menjayakannya, beliau akan menunggu sehingga jam 12 tengahari untuk melihat sama ada seseorang dari masa hadapan akan hadir ke majlis ini. Beliau akan memerhatikan pintu masuk utama kerana pengembara yang hadir akan melalui pintu ini untuk menyertainya.

Namun selepas jam 12 tengahari, tiada seorang pun yang hadir ke majlis tersebut.

Eksperimen ini walaupun dilihat ringkas, namun ia sedikit sebanyak menunjukkan bahawa kebolehan manusia untuk kembali ke masa silam tidak dapat dilaksanakan.

Secara kasarnya, manusia boleh menuju ke masa hadapan dengan adanya teori relativiti. Seseorang individu dapat menikmati umur yang lebih perlahan dan tiba di destinasi pada jangka masa yang lebih ke hadapan. Namun ia memerlukan seseorang bergerak pada kadar kelajuan melebihi cahaya untuk menikmati kebolehan ini.

Namun untuk ke kembali masa silam, ia dilihat agak mustahil pada saat ini. Ia memerlukan teori yang lebih kompleks untuk tidak mengganggu perkara di masa lampau. Sekiranya tidak, ia akan menyebabkan causality yang sedikit sebanyak menyumbang kepada penyebab dan akibat baru apabila anda berada di sesuatu tempoh masa silam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *