Pandangan

Kenapa Anda Tidak Perlu Terburu-Buru Dengan 5G?

·

5G sedang menjadi bualan hangat pada masa kini kerana ia bakal membawa sejumlah perubahan dari segi teknologi rangkaian. 5G berpotensi untuk menawarkan kelajuan mencecah gigabit – iaitu 10 kali ganda lebih pantas berbanding kelajuan purata LTE. Dengan kelajuan 5G, permainan yang bersaiz 1GB dapat dimuat-turun dalam masa hanya beberapa saat sahaja – seumpama kelajuan yang ditawarkan melalui internet fiber.

Selain daripada kelajuan, 5G juga dapat mengurangkan kadar latency yang dilihat menjadi kekurangan bagi 4G. Dengan adanya 5G, ia dijangka dapat mengurangkan kadar latency ini, sekaligus memberi manfaat kepada teknologi yang memerlukan kawalan masa-nyata. Apabila teknologi menerima latency rendah, kawalan jarak jauh dapat dilaksanakan dengan lebih tepat dan terperinci, tanpa perlu melalui isu lag atau delay yang tinggi.

Kerajaan Malaysia pada pertengahan April lalu telah mula memperlihatkan iniatif 5G mereka pada sebuah acara yang berlangsung di Putrajaya. Pada acara tersebut, Kerajaan telah menyatakan sokongan untuk merancakkan usaha 5G ini, dengan menjalinkan kerjasama bersama kesemua pihak telko tempatan.

Acara tersebut juga memperlihatkan sejumlah konsep yang bakal menerima manfaat daripada 5G ini. Antara konsep yang menjadi perhatian ialah kenderaan swapandu yang boleh dipandu secara sendiri. 5G dapat memuat-turun fail pemataan bersaiz gigabait dengan lebih pantas, selain membolehkannya membaca jalan dengan lebih terperinci.

Selain daripada kenderaan swapandu, 5G turut memungkinkan teknologi pembedahan pada jarak jauh. Doktor yang berada di lokasi lain boleh melakukan pembedahan seseorang dengan lebih tepat, dengan hanya mengendalikan peralatan khas dari lokasi doktor tersebut. Peralatan ini kemudiannya akan diselarikan dengan peralatan pembedahan di hospital, jadi ia akan bergerak seiring tanpa sebarang isu delay.

5G disasarkan akan dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia apabila kesemua perlaksanaannya mula stabil pada sekitar 2021.

Namun begitu, 5G mempunyai sejumlah halangan teknologi yang mana perlu diambil kira terlebih dahulu.

Seperti 4G, 5G memerlukan infrastruktur baru untuk mengembangkan rangkaian ini. Pihak telko akan memasang sejumlah kelengkapan baru disekitar bandar dalam membolehkan ia beroperasi. 5G mempunyai jarak gelombang yang berbeza, jadi implementasinya memerlukan pemasangan yang lebih dekat kepada pengguna.

5G menggunakan gelombang milimeter, yang mana gelombangnya lebih singkat berbanding 4G. Dengan jarak yang lebih singkat, ia membolehkan 5G dapat memberi kadar kelajuan yang lebih pantas berbanding teknologi rangkaian hari ini. Namun begitu, jarak yang singkat ini juga akan memberi kesan kepada isyarat rangkaian, yang mana lebih sukar diterima apabila berada dalam lingkungan jarak yang lebih jauh.

4G mampu menawarkan liputan dalam lingkungan jarak sekitar 10 batu atau sekitar 16KM. Ia sangat kontra berbanding 5G, kerana 5G hanya dapat memberi liputan dalam lingkungan jarak 1000 kaki atau kira-kira 300 meter. Apa yang membimbangkan, jarak ini hanyalah 2% daripada jarak lingkungan yang boleh diraih oleh 4G.

Untuk memastikan 5G mempunyai liputan yang baik, pihak telko perlu memasang menara sel dan antena di kesemua pelusuk kawasan. Bermakna, anda boleh menjangkakan ia akan dipasang pada tiang lampu, lampu isyarat, atau pada mana-mana struktur awam. Perlaksanaan seperti ini sangat diperlukan oleh 5G kerana isyaratnya akan menjadi lemah, apabila ia dihalang oleh sejumlah struktur yang berhalangan.

Sekiranya kawasan anda sudah menerima 5G, anda juga masih memerlukan sebuah peranti yang boleh menerima rangkaian ini. Pada saat ini, hanya terdapat beberapa peranti sahaja yang menyokongnya dan pastinya ia dijual pada harga yang mahal. Antara telefon yang mula menyokong 5G ini termasuklah Samsung Galaxy S10 5G, LG V50 5G, Xiaomi Mi MIX 5G, dan Moto Z3 dengan pemasangan Moto Mod 5G.

Namun dengan penawaran teknologi yang semakin berpatutan dari tahun ke tahun, 5G dijangka akan ditawarkan pada lebih banyak peranti.

Qualcomm pada minggu lalu telah mula berkongsi bahawa modem 5G akan disertakan bersama cip kelas pertengahan daripada mereka. Bermakna, telefon pada harga separuh daripada telefon berkuasa mungkin akan hadir dengan keupayaan 5G pada akan datang.

5G dilihat memberi manfaat kepada pengguna seperti kelajuan yang lebih pantas dan kadar latency yang lebih rendah. Namun halangan yang diterima 5G ini memerlukan usaha yang tinggi daripada semua pihak, bagi membolehkannya dijalankan dengan lebih awal. Namun sekiranya ia mempunyai isu dari pemasangan, perlaksanaan 5G ini dijangka akan menjadi lebih perlahan berbanding perlaksanaan 4G.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *