Penerangan

Apa Yang Dikatakan Sebagai Golongan Milenial?

·

Generasi milenial sering diperkatakan pada akhir-akhir ini – seiring dengan pertumbuhan internet dan perkhidmatan media sosial. Ia sering dikaitkan sebagai generasi moden yang sentiasa peka dengan perubahan dan arus teknologi.

Golongan daripada generasi ini dilihat aktif dalam penggunaan teknologi, bagi membantu kehidupan mereka untuk sentiasa menerima maklumat tekini. Namun antara yang menjadi kekeliruan di antara pihak, siapakah yang tergolong di dalam generasi milenial ini?

Menurut kamus kehidupan daripada Oxford, ia menyatakan milenial ini meliputi “individu muda yang membesar (ke arah dewasa) di dalam abad ke-21.” Melalui pernyataan ini, ia boleh meliputi individu yang mula lahir pada tahun 1980-an hingga ke awal 2000-an.

Apa yang menarik, generasi milenial sering kali dikatakan sebagai “echo boomer” kerana mereka tergolong di dalam pertumbuhan kelahiran yang tinggi pada sekitar 1980an – 1990an. Ada pendapat lain, milenial digelar sebegini kerana mereka merupakan anak yang dilahirkan oleh generasi “baby boomer“.

Seperti generasi yang lain, milenial merupakan individu yang tergolong di dalam kumpulan umur yang sama – yang mana mereka mempunyai idea, masa, dan sikap yang serupa.

Milenial turut digelar sebagai generasi Y, kerana mereka dilahirkan selepas era generasi X yang hidup dari tahun 1965 hingga 1980.

Generasi milenial dibesarkan melalui pada era kenaikan komputer dan pelatan elektronik, sekaligus membuatkan mereka menjadi antara golongan yang celik dengan teknologi. Perkara ini dapat membantu mereka untuk menguasai sesuatu teknologi dengan lebih pantas – seperti penggunaan komputer peribadi, telefon, atau sejumlah alat teknologi baru.

Mereka sering menjadi pembantu kepada orang yang lebih tua daripada mereka – terutama daripada generasi X – apabila golongan ini mengalami masalah untuk menggunakan sesuatu teknologi.

Menurut Kajian Pew, generasi milenial mencatatkan sejumlah statistik yang menarik seperti:

  • Generasi milenial mempunyai 250 orang kawan di Facebook, berbanding 200 orang kawan yang dimiliki oleh Generasi X
  • Generasi milenial 50% lebih cenderung mengambil swafoto dalam seharian, berbanding 20% oleh generasi X
  • Generasi milenial sekurang-kurangnya menghantar sekitar 50 mesej setiap hari
  • Generasi milenial lebih bersifat terbuka dalam menyatakan dan menerima sesuatu pendapat
  • Generasi milenial ialah generasi terakhir yang lahir pada abad ke-20

Generasi milenial juga dilihat lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu keputusan. Mereka tidak mudah terpengaruh dengan sesuatu mesej, seperti mesej berantai, sehingga mereka menjumpai kesahihan maklumat tersebut.

Perkara ini dapat membantu milenial untuk kurang tertipu dengan sindiket palsu, seperti skim cepat kaya kerana mereka lebih celik dengan penggunaan internet. Mereka akan mengkaji syarikat di belakang tabir terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk menyertainya.

Di tempat kerja, generasi milenial juga mempunyai pandangan yang berbeza. Mereka lebih cenderung untuk menerima lokasi tempat kerja yang selesa, selain memerlukan tempoh masa bekerja yang seimbang. Perkara ini sangat ditekankan oleh milenial kerana ia lebih menjamin kehidupan yang lebih sihat.

Dengan adanya keseimbangan masa, golongan ini dapat meluangkan masa bersama rakan, ahli keluarga, atau melakukan sesuatu yang disukai oleh mereka. Perkara ini dilihat kontra berbanding “baby boomer“, kerana mereka lebih cenderung untuk mengutamakan urusan kerja.

Generasi milenial ini dilihat sebagai golongan yang bertuah kerana mereka hidup di zaman permulaan dan kemuncak teknologi pengkomputeran. Mereka menyaksikan pertumbuhan teknologi yang pesat, seperti kewujudan komputer peribadi, telefon bimbit, dan sejumlah alatan pintar pada masa kini. Generasi milenial juga mempunyai sikap yang lebih bertoleransi, apabila mereka ingin membuat dan memutuskan sesuatu perkara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *